Kumpulan kami yang terdiri daripada 3 orang pelajar UMS telah ditugaskan oleh pensyarah
Khairi Ismail untuk membuat satu penyelidikan yang bertajuk ‘Aplikasi Sistem Maklumat Dalam Pengurusan Organisasi’.
Kumpulan kami telah memilih syarikat PETRONAS Sabah sebagai sasaran penyelidikan kami. Kami telah menelefon pihak PETRONAS
dan membuat temu janji dengan ketua bahagian IT PETRONAS, Encik Jamil. Persetujuan telah dibuat dan waktu temu ramah telah
ditetapkan pada 18 Ogos 2004, jam 2.30 petang. Namun demikian, kami menghadapi sedikit masalah pada hari tersebut, sewaktu
kami membuat panggilan kepada Encik Jamil, kami diberitahu oleh setiausahanya yang Encik Jamil berada di Kuala Lumpur untuk
menguruskan urusan rasmi beliau dan tidak dapat membuat temu ramah dengan kami. Pada masa sebelum ini, kami tidak dihubungi
mengenai kejadian ini. Walaubagaimanapun, kami tetap pergi ke bangunan Petronas Sabah dengan berharap temu ramah dapat diteruskan
dengan orang lain yang berpengaruh dan dapat memberi maklumat berkenaan dengan tajuk penyelidikan kami. Temu ramah kumpulan
kami dapat diteruskan apabila staf bawahan Encik Jamil bersetuju untuk membantu kami. Dengan ini, sasaran temu ramah kami
telah beralih dari Encik Jamil kepada pembantu-pembantu beliau, iaitu Encik Cornelius George dan Puan Ivy Chen.
Pada peringkat awal temu ramah ini, mereka telah memperkenalkan carta organisasi dalam bahagian IT dan ini dapat dilihat
melalui carta yang turut dilampirkan di bawah. Menerusi maklumat yang dapat diperolehi daripada carta organisasi tersebut,
Encik Jamil merupakan ketua kepada bahagian IT PETRONAS. Bahagian ini terbahagi kepada tiga bahagian utama, iaitu Telecom
& Network, Application Support, dan Computing Facilities. Encik Cornelius George merupakan eksekutif
kepada bahagian Telecom & Network manakala Puan Ivy Chen pula merupakan eksekutif kepada bahagian Application
Support. Justeru itu, terdapat beberapa orang juruteknik di dalam bahagian Telecom & Network dan bahagian Computing
Facilities. Tugas mereka adalah sentiasa memastikan segala kerja penyelenggaraan
dilakukan dengan lancar dan berkesan. Tanggungjawab utama bahagian IT PETRONAS ialah mendirikan infrastruktur dan segala kemudahan
perkomputeran bagi memastikan segala jaringan dalam bangunan PETRONAS berjalan dengan lancar. Pada masa yang sama, urusan-urusan
berkaitan dengan komunikasi syarikat PETRONAS dengan syarikat-syarikat lain tempatan mahupun antarabangsa turut terletak di
bawah tanggungjawab bahagian ini.
Temu ramah diteruskan dengan soalan mengenai promosi. Menurut Puan Ivy Chen, Pop-up Screen merupakan sistem
dan teknologi yang pantas dan efisien dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat berbanding dengan media cetak. Dalam pada
itu, mereka banyak menggunakan Pop-up Screen dalam usaha membuat pengiklanan. Sementara itu, semua komputer yang digunakan
di dalam bangunan PETRONAS turut diselaraskan secara sistematik. Para pekerja PETRONAS yang ingin melayari Internet akan memasuki
laman web rasmi PETRONAS sebelum meneruskan kerja pencarian dengan menggunakan Internet. Laman web rasmi PETRONAS turut diperbaharui
setiap hari demi memastikan maklumat yang dipaparkan adalah terkini.
PETRONAS Dagangan merupakan subsidiari dalam perniagaan syarikat
PETRONAS. KLCC merupakan Headquarter (HQ) kepada syarikat PETRONAS di Malaysia. Di bawah jaringan HQ di KLCC, ia terbahagi
kepada operasi Sabah, operasi Sarawak, dan operasi Peninsula (KL). Walaupun PETRONAS merupakan satu-satunya syarikat
cari-gali tempatan di Malaysia, namun PETRONAS tetap menjalinkan hubungan perdagangan dengan syarikat luar negara yang sebidang
seperti Shell, Esso, dan Murphy Oil bagi memastikan kemajuan dan matlamat kebaikan bersama tercapai.
Secara umumnya, cawangan PETRONAS di Sabah hanya menerima segala
keputusan yang diturunkan dari HQ dan melaksanakan tugas yang diagihkan. Pengurusan di bahagian operasi Sabah terbahagi kepada
dua iaitu ‘off-shore’ dan ‘in-shore’. ‘Off-shore’ merujuk kepada operasi mencari gali
di telaga minyak di laut. Manakala, ‘in-shore’ merujuk kepada operasi mencari-gali di Labuan dan Tuaran.
Menurut Encik Cornelius, sistem komputer digunakan secara meluas
dalam syarikat PETRONAS. Namun, mereka lebih banyak menggunakan Server daripada PC ataupun Personal Computer kerana
Server mempunyai kuasa yang lebih dari segi kelajuan dan kapasiti berbanding PC. Sistem perkomputeran dalam PETRONAS
terbahagi kepada 15 jenis Server yang utama. Di antara contoh Server yang
umum adalah seperti File Server,
Mail Server, Printing Server, Telecomunication Server, dan sebagainya. Setiap Server ini mempunyai
fungsinya yang tersendiri dan saling bergantungan. Penyimpanan data PETRONAS juga dapat dipercepatkan dan disimpan di tempat
yang khusus. Penggunaan Server turut menyenangkan kerja dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi pada komputer. Para
juruteknik akan cuba sedaya upaya untuk membaiki masalah. Apabila berdepan dengan masalah yang lebih serius, mereka akan meminta
bantuan dan tunjuk ajar daripada HQ melalui telefon.
Selain itu, Encik Cornelius George dan Puan Ivy Chen juga membekalkan
maklumat kepada kami tentang sistem keselamatan @ sekuriti yang digunakan oleh PETRONAS. Terdapat satu rangkaian jaringan
yang menghubungkan kesemua syarikat PETRONAS di Asia yang dikenal sebagai Petronet. Sesiapa yang ingin memasuki jaringan
Petronet dikehendaki menaip User Name dan Password yang tepat. Sebarang kiriman mel yang dihantar akan
diimbas oleh Firewall di KLCC sebelum sampai ke komputer penerima sama ada di Semenanjung ataupun Sabah dan Sarawak.
Firewall merupakan satu sistem perlindungan yang digunakan oleh HQ dalam mengesan sebarang gangguan yang berlaku dalam
jaringan Petronet. Langkah ini dapat memastikan tidak berlakunya kejadian pencerobohan dan menghalang data-data penting
PETRONAS daripada dicuri atau dimiliki oleh pihak lain. Petronet juga dapat menghalang
kemasukan junk mail yang akan melambatkan jaringan Petronet.
Secara kesimpulannya, penggunaan sistem maklumat dalam syarikat
PETRONAS semakin meluas dan berkesan. Kejayaan ini dapat kita perhatikan melalui pengurusan PETRONAS dalaman yang sistematik
dan berjaya menjalinkan hubungan dagangannya yang baik dengan syarikat-syarikat antarabangsa.
Laporan Disediakan Oleh;
Benedict Lim Chyi Wey
Wong Sing Deek
Richard Ong Yun Tian